BAM wujudkan liga dalaman buat pemain negara

Oleh Muzaffar Musa 1 Ogos 2020 202
BAM wujudkan liga dalaman buat pemain negara
Skuad badminton negara akan mendapatkan semula suasana pertandingan pasca waktu rehat berikutan pandemik COVID-19 apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan memperkenalkan satu kejohanan dalaman bagi menilai prestasi setiap pemain.

Ia akan bermula dengan saingan Divisyen 2 pada Rabu depan sebelum saingan utama, Divisyen 1, membuka tirai pada 12 Ogos ini.

Perkara itu disahkan oleh Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann, dalam satu temu bual bersama Nadi Arena hari ini.

"Divisyen 2 tidak semestinya pemain remaja, (Leong) Jun Hao juga akan bermain dalam Divisyen 2 berdasarkan penelitian terhadap ranking dunia dan ranking kebangsaan, di mana Divisyen 1 hanya akan diisi oleh pemain dalam kelompok enam terbaik.

"Ia satu format liga yang semua orang perlu bermain.

"Kami nakan bermula dengan Divisyen 2 dahulu, kemudian dua pemain terbaik dalam Divisyen 2 akan menyertai Divisyen 1.

"Ia bermakna, akan ada lapan perseorangan lelaki dalam Divisyen 1," katanya.

Choong Hann turut mengesahkan kejohanan dalaman itu akan menjadi medan pemilihan menjelang saingan Piala Thomas dan Uber pada Oktober depan.

"Ia memang salah satu daripada penilaian yang akan kami utamakan.

"Disebabkan itu, kami menasihatkan pemain agar lebih bersedia.

"Mungkin pemain muda kurang pengalaman tetapi kejohanan seperti ini membolehkan kami menilai kesilapan mereka dan membantu mereka untuk menjadi lebih stabil di bawah tekanan," tambahnya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen