Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bakal mengumumkan tuan rumah kejohanan elit bagi musim 2019 sehingga 2025.

Adakah malaysia bakal menjadi sebahagian daripada penganjuran kejohanan ini?

Kejohanan elit BWF itu termasuklah Kejohanan Dunia, Piala Thomas dan Uber serta Piala Sudirman.

Selain kejohanan di bawah kalendar jelajah BWF, Malaysia sudah lama tidak menjadi tuan rumah kepada acara utama dunia.

Kali terakhir adalah Piala Sudirman pada 2013 dengan skuad negara tidak memperoleh pulangan baik, baik di dalam dan di luar gelanggang.

Persoalan yang menjadi tanda tanya, adakah Malaysia akan kembali memburu gelaran utama dunia sebagai tuan rumah dalam tempoh 2019 sehingga 2025 itu.

"Setakat ini, untuk kitaran jadual kejohanan utama, kami belum ada sebarang permintaan untuk menganjurkan Piala Thomas dan Piala Sudirman.

"Fokus kami membabitkan BWF pada masa ini adalah Kejohanan Terbuka Malaysia dan Malaysia Masters.

"Kami sedang fokus untuk meningkatkan prestasi barisan pemain, terutama selepas kemasukan Wong Choong Hann sebagai Pengarah Kejurulatihan dan Latihan (C&T) Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

"Sudah tentu perkara paling utama adalah mendapatkan pingat emas Sukan Olimpik.

"Keupayaan Malaysia untuk menganjurkan sebarang kejohanan utama tidak harus dipertikaikan.

"Malaysia pada umumnya telah membuktikan kemampuan untuk menganjurkan kejohanan besar tetapi buat masa ini, kami perlulah melihat kepada keutamaan sebenar," ujar Pengurus Besar BAM. Michelle Chai.