Kerana komitmen yang tidak berbelah-bahagi, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, mengumumkan pemilihan Sarawak sebagai salah satu lokasi baru Akademi Badminton Malaysia.

Pemilihan negeri ini, katanya, adalah untuk mengisi slot zon Sabah dan Sarawak.

"Kita juga akan mewujudkan akademi yang serupa di zon Selatan, zon Utara dan zon Pantai Timur," katanya.

Menurutnya, tujuan pihaknya mewujudkan akademi ini adalah untuk mencungkil bakat-bakat baru dari negeri yang bukan pengeluar tradisi jaguh badminton seperti Selangor dan Kuala Lumpur.

"Saya amat kagum dengan komitmen Persatuan Badminton Sarawak (SBA) yang telah menyediakan tapak tanah. Malah, rekabentuk akademi tersebut yang secara tentatif dinamakan Akademi Badminton Sarawak.

"Biarpun turut menjadi hos kepada pemain-pemain dari Sabah, saya beri jaminan akan ada kelebihan yang diberikan kepada negeri tuan rumah," katanya.

Sementara itu, Presiden SBA, Tan Sri Abdul Aziz Hussain, berkata pembinaan akademi itu dijangka menelan kos RM35 juta.

"Amat menarik kerana idea yang dicetuskan oleh kami sebelum ini selari dengan hasrat presiden BAM.

"Justeru, amat sesuailah apabila kedua-dua belah pihak menyatukan hasrat yang baik ini," katanya.

Dengan harapan untuk melahirkan jaguh dunia, akademi ini akan dibina di atas tanah seluas tiga ekar berhampiran Kompleks Sukan Sarawak di Petra Jaya.

"Kami menerima kurniaan tanah ini tiga tahun lalu dan sedang memuktamadkan rekabentuk agar ia sesuai dengan aspirasi BAM untuk menubuhkan akademi kebangsaan.

"Kami juga telah berbincang dengan BAM untuk merancang susun atur program latihan agar ia memenuhi keperluan dan jangkaan kedua-dua pihak, termasuk Kerajaan Negeri Sarawak," tambah Abdul Aziz yang juga Timbalan Presiden BAM.