BAM tidak mahu terburu-buru -- Kenny

Oleh Penulis Jemputan 23 Oktober 2019 239
BAM tidak mahu terburu-buru -- Kenny
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) belum menetapkan sebarang tarikh tutup bagi mereka yang berminat untuk mengisi jawatan Pengarah Kejurulatihan Skuad Remaja Negara yang dijangka diisi menjelang akhir tahun ini.

Badan induk itu sedang mencari calon paling sesuai bagi menggalas tanggungjawab besar peringkat akar umbi itu dan antara yang berminat ialah bekas pemain beregu lelaki negara, Datuk Razif Sidek.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, tidak mahu terburu-buru membuat keputusan kerana belum ada sebarang tarikh tutup yang ditetapkan untuk pelantikan jawatan itu.

"Kadangkala, apabila kami meletakkan tarikh akhir, ia hanya mencetuskan tekanan. Jadi, saya rasa kami mahu membiarkan pilihan terus terbuka. Saya masih berpegang bahawa perubahan perlu dilakukan," katanya.

BAM juga akan hanya membuat penilaian menyeluruh berdasarkan prestasi pemain dan jurulatih menjelang akhir tahun ini selepas barisan pemain naungan persatuan kebangsaan itu mengharungi musim 2019 tanpa kejayaan besar di peringkat antarabangsa.  

"Semua pemain sudah tahu Indeks Prestasi Utama (KPI), jadi tunggu 31 Disember nanti. Tidak perlu ada sebarang spekulasi dan mereka masih dalam proses pertandingan."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen