BAM tidak jamin tunai permintaan Peng Soon, Liu Ying

Oleh Penulis Jemputan 27 Disember 2018 980
BAM tidak jamin tunai permintaan Peng Soon, Liu Ying
Pengarah Kejurulatihan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, belum pasti dapat menunaikan permintaan gandingan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, untuk terus berlatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara.

Sebelum ini, Peng Soon-Liu Ying mengadakan pertemuan dengan Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, selepas mengumumkan hasrat untuk meninggalkan badan induk itu.

Antara yang dicadangkan ialah mereka diberikan kelonggaran untuk menggunakan gelanggang latihan di ABM sebanyak tiga kali seminggu.

Bagaimanapun, Choong Hann menjelaskan permintaan itu masih dalam proses penelitian kerana tidak mahu mengganggu perancangan jurulatih serta pemain kebangsaan di bawah naungan BAM.

"Kami perlu melihatnya berdasarkan pelbagai faktor lain.

"Ia merupakan permintaan daripada mereka dan bukannya cadangan daripada kami.

"Kami perlu menilainya dengan sebaik mungkin sebelum mengeluarkan sebarang keputusan," katanya.

Dalam pada itu, Choong Hann percaya skuad kebangsaan yang akan dikecilkan kepada 48 pemain bermula tahun depan akan lebih kompetitif dengan memberikan lebih peluang kepada pemain muda.

Namun, dia tidak menolak kemungkinan jumlah itu akan bertambah andai ada pemain di luar naungan BAM berjaya memikat panel penilaian Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) badan induk itu.

"Ia jumlah yang mencukupi, namun bergantung kepada keadaan semasa.

"Buat masa ini, ia merupakan jumlah terbaik untuk kami menumpukan kepada pemain yang benar-benar mahu berkembang.

"Kami mungkin dapat melahirkan pemain terbaik daripada kumpulan kecil itu," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen