Pemain badminton daripada pasukan kelab mahupun profesional perlu bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) andai mahu menyertai kejohanan bertaraf Grand Prix (GP) Emas dan ke atas.

Perkara itu antara yang dipersetujui dalam mesyuarat majlis ketiga BAM tahun ini yang dipengerusikan presidennya, Datuk Seri Norza Zakaria.

Sebelum ini, BAM memberi kelonggaran untuk pemain bukan di bawah naungan badan induk itu untuk beraksi dalam kejohanan utama seperti Siri Super dan GP Emas.

Namun, berkuatkuasa serta merta, mereka tidak lagi dibenarkan mengambil bahagian dalam kejohanan berkenaan.

Bagaimanapun, lapan pemain diberikan pengecualian berdasarkan pencapaian sebelum ini. Mereka terdiri daripada Chong Wei Feng, Liew Daren, Zulfadli Zulkiffli, Arif Latiff, K. Yogendran, Tan Boon Heong, Lim Khim Wah dan Sannatasah Saniru.

Menurut Norza, langkah ini dilakukan bukan kerana BAM ingin menyekat usaha yang dilakukan pasukan kelab.

"Pemain di bawah naungan BAM akan dibenarkan menyertai Kejohanan Super Siri dan GP Emas.

"Saya tidak fikir apa yang kami sedang lakukan akan menjadi penghalang kepada pemain kelab," katanya.

Antara agenda lain yang dibincangkan dalam mesyuarat itu termasuk BAM akan memperkenalkan beberapa skim insentif kepada pemain dan jurulatih bermula musim 2018 nanti.

Ia termasuk pemberian bonus berdasarkan ranking semasa pemain.

Mesyuarat majlis BAM itu turut memberi kebenaran kepada pemain di bawah 18 tahun untuk bertanding dalam kejohanan luar negara.

Penerbangan kelas perniagaan juga akan diberikan kepada pemain berstatus legenda sementara Persatuan Badminton Putrajaya dan Labuan kini di bawah naungan BAM.

"BAM akan memperkenalkan skim ganjaran yang baru berdasarkan prestasi untuk mengelak pemain daripada terleka.

"12 pemain perseorangan terbaik dan pasangan beregu di ranking terbaik akan menerima imbuhan secara bulanan."