Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tiada perancangan untuk menambah barisan kejurulatihan bagi menggantikan empat jurulatih yang tidak disambung kontrak bermula tahun depan.

Kontrak jurulatih perseorangan lelaki, Sairul Amar Ayob, jurulatih beregu lelaki, Cheah Soon Kit, jurulatih perseorangan wanita, Rony Agustinus, dan jurulatih beregu wanita, Lim Pek Siah, akan tamat penghujung bulan ini.

Pengurus Besar BAM, Michelle Chai, menjelaskan keputusan untuk tidak menyambung kontrak empat jurulatih berkenaan seiring dengan pengurangan barisan pemain sehingga 48 orang bermula Februari depan.

Justeru, BAM ketika ini hanya ingin mengekalkan 13 jurulatih kebangsaan untuk terus membimbing skuad negara dengan kini tumpuan mengutamakan kualiti daripada kuantiti.

"Sekarang pendekatan kami sangat berbeza. Kami melihat kepada pencapaian dan prestasi, itu jadi kriteria utama. Fokus adalah kualiti dan bukan kuantiti. Jika kami simpan pemain yang memiliki kualiti, kami boleh fokus lebih kepada mereka," kata Michelle.

Berhubung prestasi merudum beregu lelaki, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong, Michelle menegaskan BAM tidak akan sesekali berpeluk tubuh, sebaliknya akan terus membantu karier mereka selaku beregu nombor satu negara.

"Sebagaimana BAM dan peminat yang mahu melihat V Shem dan Wee Kiong menemui kembali sentuhan, sekarang kami bersedia untuk membantu. Segalanya terpulang kepada mereka," tambah Michelle.