Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh, menegaskan badan induk itu akan meneruskan dua penganjuran kejohanan dalaman sekalipun perancangan dibelenggu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dua kejohanan itu adalah playoff antara pilihan senior menentang terbaik daripada Program Remaja pada 16 sehingga 20 November ini.

Kemudian saingan berpasukan campuran yang menampilkan empat pasukan yang dijadualkan berlangsung pada minggu pertama bulan depan.

Baki tiga minggu bulan Disember pula akan dimanfaat sepenuhnya buat pemain seperti Lee Zii Jia, beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik mempersiapkan diri bagi tiga kejohanan yang bakal berlangsung di Bangkok, Thailand Januari tahun depan.

"Kami bercadang untuk menganjurkan saingan dalaman dan hanya melibatkan pemain yang di ABM sahaja. Semua akan dilakukan secara dalaman," kata Kenny.

"Kejohanan peringkat antarabangsa yang bakal dianjurkan Disember ini, kami masih lagi belum membuat keputusan.

"Kami bercadang menghantar seramai pemain yang boleh, tetapi ia merupakan kejohanan utama dan kami akan mengikut setiap Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan."