Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akhirnya sah melantik Vountus Indra Mawan bagi menggantikan Jeremy Gan sebagai jurulatih beregu lelaki negara.

Bekas pemain beregu negara itu bakal melapor diri di BAM pada Ahad ini bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Jeremy untuk membantu ketua jurulatih, Cheah Soon Kit, mengemudi skuad beregu lelaki.

Dia berjaya menyaingi calon lain seperti Yap Kim Hock, Lee Wan Wah dan beberapa bekas pemain negara yang lain selepas dilihat antara yang paling layak berdasarkan faktor umur dan latar belakang dalam bidang sains.

Menurut Pengurus Besar BAM, Michelle Chan, jurulatih berusia 28 tahun itu akan diberi tiga bulan tempoh percubaan terlebih dahulu.

“Cheah Soon Kit telah meneliti beberapa calon, selepas itu dia menilai keperluan beregu lelaki buat masa sekarang.

"Selepas berbincang dengan pihak pengurusan dan seluruh pasukan, kami rasa Vountus adalah calon yang terbaik buat masa sekarang,” kata Michelle.