Datuk Lee Chong Wei adalah ahli keluarga Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hingga ke akhir hayatnya.

Kenyataan itu sekali gus membawa makna, legenda badminton dunia itu akan memainkan peranan besar dalam membantu penerus legasinya, Lee Zii Jia, menuju Sukan Olimpik Tokyo, Julai 2021.

Semalam, bekas pemain nombor satu dunia, Roslin Hashim, menyarankan badan induk itu agar usah mengetepikan pengalaman Chong Wei dalam membantu peningkatan prestasi pemain utama perseorangan lelaki tersebut.

Dalam masa sama, bekas pemain dari Pulau Pinang itu juga mengalu-alukan sebarang cadangan untuk membantu kem negara.

"Kami akan cuba melihat aspek yang boleh membantu prestasi Zii Jia. Kami bukanlah telah berpuas hati dengan prestasinya dalam Kejohanan Terbuka Malaysia dan Seluruh England, tetapi kami gembira," kata Chong Wei.

Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, juga menegaskan, tugas raja Siri Super itu sebagai chef-de-mission (CDM) temasya Tokyo 2021 negara adalah permulaan kepada kemungkinan untuknya menggalas tanggungjawab yang lebih besar dalam kepimpinan sukan negara.

"Untuk pengetahuan semua, Chong Wei tidak pernah meninggalkan BAM. Dia sentiasa ada.

"Saya sering mengatakan Chong Wei adalah sebahagian keluarga kami.

"Saya harap dia dapat menyertai Hendrawan (ketua jurulatih negara) dan Wong Choong Hann (Pengarah Kejurulatihan BAM) dalam memberi tunjuk ajar dan semangat kepada pemain perseorangan negara khususnya kepada mereka yang layak ke Sukan Olimpik.

"Saya memikirkan orang seperti saya untuk membentuknya sebagai ketua dan mendedahkannya dengan pengurusan supaya pada satu hari kelak, dia boleh memimpin BAM," katanya menerusi temu bual video bersama wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani, hari ini.

Sementara itu, sambil memantapkan persediaan sebagai CDM, bekas pemain nombor satu dunia itu juga makin giat dalam membantu rakyat Malaysia menangani wabak koronavirus baru (Covid-19) menerusi yayasannya.

"Saya sedih apabila melihat rakyat Malaysia dilanda kesusahan akibat Covid-19.

"Kerajaan sedang bertungkus lumus untuk rakyat dan saya juga akan cuba yang terbaik untuk membantu seramai yang mungkin.

"Saya sudah mendapat maklum balas daripada pihak hospital dan telah menempah 500 kelengkapan pakaian untuk mereka.

"Tetapi ia hanya akan sampai minggu depan disebabkan ia perlu ditempah di China memandangkan pihak hospital tidak mempunyai stok yang cukup.

"Dalam tempoh beberapa hari ini, saya turut akan cuba menyalurkan bantuan kepada universiti kerana ada pelajar yang tidak dapat pulang ke kampung dan memerlukan makanan.

"Saya akan menyumbangkan bantuan makanan kepada lima universiti. Selain itu, saya ada membeli 100,000 keping penutup muka untuk golongan yang memerlukan," katanya.