Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan memperkenal dasar menyingkirkan pemain daripada program kebangsaan jika didapati terbabit dalam gejala perjudian.

Ini susulan kes membabitkan seorang pemain daripada skuad remaja yang tampil mengaku berjudi kepada barisan kejurulatihan sebelum perkara ini dibawa ke peringkat pengurusan, bulan lalu.

Dasar yang akan diperkenalkan BAM ini bertujuan mengelak pemain sehingga ke peringkat elit untuk bebas daripada sebarang aktiviti tidak bermoral.

BAM mengetahui pemain yang terpalit dengan hutang perjudian hanya akan mencerahkan peluang untuk terjerumus kepada gejala mengatur perlawanan.

"Baru-baru ini, kami telah mengambil tindakan terhadap seorang pemain remaja kami.

"Dia mengakui kepada jurulatih bahawa dia telah terlibat dalam perjudian dan kami telah menggantungnya selama tiga bulan.

"Dasar kita adalah mempunyai pemain-pemain yang bebas daripada perkara-perkara sedemikian.

"Mereka diberi elaun dan sokongan dalam sukan badminton, itulah satu-satunya perkara yang mereka sepatutnya lakukan," kata Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria.