Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bersikap terbuka dalam merekrut jurulatih luar apabila berhasrat terus memperkasakan skuad kebangsaan demi merealisasikan Projek 24.

Projek 24, yang diperkenalkan badan induk itu bulan lalu, menyasarkan pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024 selain menetapkan sasaran Malaysia sebagai finalis Piala Thomas 2022.

Justeru, BAM tidak menafikan kemungkinan akan mengambil khidmat jurulatih luar dalam menjayakan misi itu.

"Sekiranya kami memerlukan sedikit perubahan yang melibatkan jurulatih luar, kami akan terima perkara tersebut," kata Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, kelmarin.

Norza menyokong sepenuhnya perancangan Projek 24 dan menegaskan ia memerlukan masa untuk membuahkan hasil.

"Ada pembaharuan yang perlu dibuat kerana saya berasakan ini program yang sangat tepat dalam usaha kami untuk mencapai sasaran Sukan Olimpik 2024," tambahnya.

Dalam pada itu, beliau juga berpuas hati dengan kemajuan dan perubahan yang dilaksanakan Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann, sejak memulakan khidmatnya pada Januari lalu.