Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, sedia memberi bantuan kepada pemain beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon, yang disahkan menghidap penyakit saraf muka bell's palsy.

Menurutnya, beliau akan sentiasa memantau keadaan pemain itu yang menjadi sandaran utama untuk meraih slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 bagi memastikan tahap kesihatannya sentiasa baik.

Peng Soon disahkan menghidap bell's palsy ketika beraksi dalam saingan Akhir Jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF), di Guangzhou, China minggu lalu.

Penghidap bell's palsy secara lazimnya akan mengalami kesan pada sebelah bahagian muka yang turut menjejaskan penglihatannya.

"Saya telah bercakap dengan Peng Soon mengenai penyakit yang dialaminya dan dia akan berjumpa pakar saraf. Saya akan berbincang dengan pihak MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) bagi membantunya," kata Norza.

Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, turut akan memberi tumpuan dalam memastikan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu berada dalam keadaan baik supaya dapat meneruskan perjuangan mencari mata ke Tokyo.

"Kami sedia membantu Peng Soon. Kami akan berhubung dengan pemain itu serta BAM dalam memantau perkembangannya kerana ubat-ubatan yang diperlukan mengandungi steroid.

"Jadi, kami perlu mendapatkan pandangan pakar perubatan bagi memastikan dia kekal di landasan untuk layak ke Sukan Olimpik," kata Shapawi.