Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bersedia mempertimbangkan untuk menganjurkan Kejohanan Siri Super Premier Terbuka Malaysia 2017 di luar Kuala Lumpur jika Stadium Negara gagal mencapai spesifikasi yang diperlukan.

Pemangku Presiden BAM, Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid, sedia menjadikan beberapa lokasi lain, termasuk Alor Setar, Kota Kinabalu dan Sibu sebagai pengganti.

Namun, keputusan muktamad sama ada Stadium Negara sesuai digunakan sebagai venue pertandingan hanya akan diputuskan dalam masa terdekat.

Buat masa ini, Stadium Putra, Bukit Jalil sedang ditutup kerana menjalani kerja-kerja menaik taraf untuk menghadapi Sukan SEA 2017.

"Kedah ada kemudahan yang baik yang telah menganjurkan Kejohanan Remaja Dunia.

"Boleh jadi Terbuka Malaysia diadakan di Sabah ataupun Sarawak. Seperti yang kita ketahui, Sabah telah menganjurkan Kejohanan Cabaran Antarabangsa Malaysia dengan cemerlang.

"Sibu, Sarawak pula memiliki kemudahan yang besar. Ini semua akan akan diambil kira," katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani penajaan Konfederasi Badminton Asia (BAC) dengan Shijiazhuang Enlio Sports di Petaling Jaya, hari ini.

Dalam masa yang sama, Al Amin berasa bangga dengan pencapaian Datuk Lee Chong Wei serta Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang kini bergelar pemain nombor satu dunia.

Tanpa mengambil kira apa yang akan terjadi dalam dua aksi terakhir tahun ini, beliau menegaskan 2016 adalah tahun kecemerlangan badminton negara.

"Ramai pihak yang terkejut apabila kami dapat mara ke tiga perlawanan akhir di Sukan Olimpik Rio.

"Saya ingin tegaskan lagi pencapaian untuk mara dalam tiga kategori adalah satu pencapaian yang membanggakan.

"Ia tidak pernah berlaku sebelum ini."