Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, ingin mencari keseimbangan di antara latihan di luar negara dan di tanah air bagi pemain negara.

Ini kerana bekas pemain perseorangan lelaki negara itu masih percaya sistem sokongan terbaik adalah di negara sendiri.

Skuad badminton negara melangkaui jangkaan badan induk itu apabila layak ke pusingan akhir Piala Thomas dan mara separuh akhir Kejohanan Berpasukan Badminton Asia.

Perjalanan epik skuad wanita pula terhenti selepas tewas di tangan Jepun 3-0 dalam aksi separuh akhir manakala skuad lelaki mencipta sejarah mara ke final sebelum tewas kepada Indonesia 3-1, semalam.

Walaupun ramai melihat kem latihan di Thailand menjadi antara faktor utama aksi memberangsangkan itu, tetapi Choong Hann ingin mencari keseimbangan latihan di Malaysia dan luar negara.

"Kami mempertimbangkan segala kemungkinan tetapi dalam masa yang sama, ia bergantung kepada program tekal daripada jurulatih negara.

"Ia usaha sepasukan. Ia harus dilihat menerusi aspek yang lebih menyeluruh.

"Apapun, kami mempunyai kemudahan yang lebih lengkap di tempat sendiri.

"Kami akan mengimbangi program-program yang akan disusun," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Wan Abdul Muiz Wan Abdul Aziz, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 2), awal pagi tadi.

Editor: Shaiful Shamsudin