Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohd Norza Zakaria, menganggap badan induk itu tetap mempunyai tempat yang istimewa buat Datuk Lee Chong Wei untuk bekas jaguh perseorangan lelaki negara itu kembali menjadi penasihat penting dalam misi mengembalikan maruah badminton negara.

Kelibat bekas pemain nombor satu dunia itu kelihatan dalam mesyuarat pengurusan badan induk itu di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini, selain turut dihadiri Timbalan Presiden, Datuk Wira Lim Teong Kiat, Pengurus Besar, Michelle Chai serta Setiausaha Agung, Datuk Kenny Goh.

Antara topik yang dibincangkan dalam mesyuarat tertutup itu adalah program Projek 2024, dengan BAM mengambil serius maklum balas Chong Wei yang turut hadir sebagai chef-de-mission (CDM) Sukan Olimpik Tokyo 2020 untuk melihat persiapan mereka.

Sebelum ini, Chong Wei menyuarakan hasrat untuk kembali ke BAM tetapi bukan sebagai jurulatih, maka Norza mengakui pengalaman yang mampu ditawarkan bekas jagoan negara itu dapat membantu program mereka dengan lebih baik.

Sehubungan itu, setiap mesyuarat pengurusan yang akan dilaksanakan selepas ini akan melibatkannya.

"Beliau adalah bekas jaguh Super Series. Setiap kali kami berselindung di sebalik Chong Wei, kami fikir badminton negara dalam keadaan baik.

"Tetapi beliau fikir ini adalah detik amat penting untuknya kembali bersama BAM, bersama-sama membina pasukan kebangsaan untuk melahirkan lebih ramai pemain (jaguh) negara," kata Norza.

Setakat ini, tiada jawatan khas ditawarkan kepada pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu dengan setiap tindakannya bersama BAM adalah secara sukarela.

Norza juga tidak khuatir sekiranya bekas atlet kelahiran Pulau Pinang itu beralih atau dipancing negara lain memandangkan dia tidak berminat untuk melatih pasukan.

"Saya fikir minatnya bukan menjurus kepada kejurulatihan. Seperti yang beliau katakan, selepas bersara, beliau mahu bersama keluarga dan menjaga kesihatannya.

"Tetapi sudah tentu keutamaan beliau adalah bersama BAM."