Dengan semangat satu pasukan satu impian, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kembali menjalinkan kerjasama dengan Yonex.

Ini selepas Yonex kali terakhir menjadi penaja kepada badminton Malaysia pada 2005 sehingga 2015.

Kerjasama untuk lima tahun sehingga 2026 ini menyaksikan BAM menerima nilai penajaan berjumlah RM55 juta dalam bentuk kewangan dan keperluan dalam gelanggang untuk skuad kebangsaan.

"Yonex akan membekalkan peralatan kepada 151 pemain termasuk senior, remaja dan jurulatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM). Yonex juga akan menjadi pembekal peralatan rasmi eksklusif bagi kejohanan antarabangsa iaitu Terbuka Malaysia, Masters Malaysia dan Cabaran Antarabangsa.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yonex di atas kerjasama yang sangat bermakna ini. Setiap kali kami mengadakan perbincangan, ia sentiasa mengenai untuk membawa badminton Malaysia ke tahap tertinggi," kata Presiden BAM, Tan sri Norza Zakaria.