Persatuan Badminton Malaysia (BAM) boleh menarik nafas lega selepas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengumumkan pakej sokongan COVID-19 yang meliputi bantuan kewangan untuk negara penganjur kembali melangsungkan kejohanan pada 2021.

Bantuan itu meliputi pengurangan sebanyak 50 peratus yuran sanksi kepada badan induk dunia itu oleh negara-negara penganjur.

Selain itu, kos sanitasi, ujian calit serta perkara berkaitan dalam mematuhi segala protokol untuk menjayakan kembali kejohanan turut ditanggung BWF.

Berdasarkan kalendar 2021, dua kejohanan akan kembali dilangsungkan di Malaysia iaitu Terbuka Malaysia pada 31 Mac hingga 4 April, seterusnya Malaysia Masters pada 6 hingga 11 April.

"Kami perlu kaji lebih mendalam dan terperinci apakah bentuk bantuan-bantuan yang diberikan BWF.

"Kami perlu perancangan yang lebih rapi dan berbincang dengan pemegang taruh untuk kami mengelolakan kejohanan yang efisien agar tidak mengalami kerugian besar.

"Kami telah maklumkan kepada MSN mengenai tarikh tersebut, ia tarikh terbaik yang boleh diberikan BWF.

"Kami juga difahamkan pemain-pemain dari negara-negara berisiko tinggi tidak akan dibenarkan masuk. Perkara ini perlu dikaji dengan lebih mendalam," kata Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, ketika dihubungi wakil Astro Arena, Adam Zamri, hari ini.


Who will be at the top of their game for the YONEX Thailand Open in Bangkok? ? https://bit.ly/34hzbj0

Posted by BWF — Badminton World Federation on Monday, December 21, 2020


Bagaimanapun, BAM masih perlu berbincang dengan semua pemegang taruh untuk mendapat pandangan dan keizinan membawa masuk peserta luar negara bagi dua saingan berkenaan tatkala pintu sempadan negara masih ditutup.

Dalam masa yang sama, skuad Malaysia juga masih menanti keputusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk berlepas ke Bangkok bagi menyertai dua Kejohanan Terbuka Thailand bulan depan.