Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T), Persatuan Badminton Malaysia (BAM) , Datuk Ng Chin Chai, mahu membasmi sindrom "generasi sandwich" supaya barisan pelapis masa depan mampu meneruskan kesinambungan kejayaan badminton negara.

Malaysia tidak menghadapi masalah untuk melahirkan jaguh di peringkat remaja tetapi apabila beralih ke tahap senior, mereka seakan-akan gagal untuk mencapai potensi.

Situasi itu disifatkan sebagai "generasi sandwich" dan BAM sedang cuba untuk membendung perkara tersebut.

Chin Chai mengumumkan kesemua 12 pemain remaja yang beraksi tempoh hari akan dijemput bagi menjalani latihan selama tiga bulan bersama kem kebangsaan.

Mereka akan dinilai dan jika prestasi memuaskan, mereka akan diserap menjadi sebahagian daripada skuad negara dan dihantar beraksi dalam beberapa kejohanan peringkat cabaran dan siri antarabangsa.

"Sesetangah pemain menganggap mereka dapat mengekalkan prestasi peringkat remaja ke saingan senior.

"Mereka tidak boleh kekal di takuk lama andai mahu menyerlah di peringkat senior.

"Jika tidak, mereka akan berdepan kekecewaan dalam tempoh beberapa tahun mendatang apabila tiba pemain-pemain muda lain yang lebih menyerlah," kata Chin Chai.

Bagaimanapun, tempoh percubaan itu dikecualikan terhadap Goh Jin Wei serta pasangan beregu wanita, Pearly Tan-Toh Ee Wei, yang sudah mendapat tempat dalam skuad senior.

"Kami akan menilai kemampuan mereka dalam tempoh tiga bulan," tambah Chin Chai.

"Kami akan memberikan peluang sama rata buat kesemua pemain.

"C&T sudah mengumumkan bahawa hanya tiga passangan terbaik akan kekal dalam kelompok pemain senior," tambahnya.