BAM, KHM manfaatkan Hari Sukan Negara

Oleh Penulis Jemputan 14 Oktober 2017 50
BAM, KHM manfaatkan Hari Sukan Negara
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil peluang pada Hari Sukan Negara apabila meluangkan masa bersama anak-anak yatim yang sering tersisih daripada sebarang acara.

Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, turut meluangkan masa bersama kira-kira 40 anak yatim dan bertindak sebagai pakar motivasi.

Turut serta dalam program itu adalah beberapa pemain kebangsaan seperti Datuk Lee Chong Wei, Goh V Shem, Tan Wee Kiong dan Goh Liu Ying.

“Kanak-kanak yang ada pada hari ini berpeluang untuk datang ke sini dan melihat sendiri ikon-ikon badminton negara.

“Apa yang saya nampak, mereka nampak gembira dan pemain-pemain juga berbesar hati untuk berkongsi segala ilmu yang mereka miliki,” ujar Misbun.

Dalam masa sama, Misbun turut menjelaskan bahawa tidak mustahil bahawa bakat-bakat baru boleh dicungkil daripada kalangan anak-anak yatim.

“Program pada hari ini mungkin dijalankan dalam masa yang singkat tetapi pulangan hasilnya mungkin boleh memupuk minat yang mendalam pada mereka terhadap sukan badminton.”

Sementara itu, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) turut serta melibatkan diri pada Hari Sukan Negara apabila mengadakan klinik hoki di Kuala Lumpur Sports City, Bukit Jalil.

Klinik itu dianjurkan khas buat kanak-kanak berusia tujuh sehingga 10 tahun, bermula jam 8.00 pagi untuk mempelajari teknik-teknik asas dalam sukan itu.

Antara individu yang terlibat adalah beberapa jurulatih negara seperti Muhammad Dhaarma Raj Abdullah dan Tan Beng Hai sambil disertai oleh beberapa bekas pemain kebangsaan. 

“Bagi saya, jika kita dapat melahirkan walaupun seorang pemain kebangsaan daripada program hari ini, ia merupakan satu kejayaan besar buat negara,” kata Dhaarma.

 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen