Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak mahu mengambil langkah terburu-buru dalam menentukan penyertaan gandingan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, dalam Sukan Asia 2018.

Untuk saingan di Jakarta, penyertaan gandingan beregu campuran utama negara itu mencetuskan persoalan susulan kecederaan kaki kiri yang dialami Liu Ying dalam Kejohanan Dunia di Nanjing, China.

Cabaran mereka tersekat dalam suku akhir apabila kecundang di tangan gandingan Taiwan, Tang Chun Man-Tse Ying Suet, dalam aksi tiga set.

Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, menjelaskan badan induk itu terlebih dahulu perlu meneliti laporan perubatan lengkap mengenai kecederaan yang dialami Liu Ying sebelum menentukan nasib mereka ke Sukan Asia walaupun mengakui masa kian suntuk seandainya memerlukan pengganti.

"Saya sudah menghubungi Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM, Datuk Ng Chin Chai, yang berada di Nanjing untuk dia berbincang dengan jurulatih yang berada di sana bagi memaklumkan adakah perubahan itu akan dilakukan," kata Norza.

Selain Peng Soon-Liu Ying, Malaysia mempunyai satu lagi gandingan dalam saingan beregu campuran dalam saingan Sukan Asia nanti, iaitu psaangan Goh Soon Huat-Shevon Lai.

Dalam masa sama, Norza tetap berpuas hati dengan pencapaian pemain naungan BAM dalam Kejohanan Dunia kali ini walaupun tiada daripada kalangan mereka yang mampu mara ke separuh akhir.

"Tidak ada wakil BAM ke separuh akhir tetapi pencapaian Malaysia jika dibandingkan dengan aksi di Glasgow serta prestasi sebelum ini, bilangan yang melepasi pusingan pertama adalah sesuatu yang sangat baik. Itu pendapat saya."