BAM jangka gugur jurulatih 

Oleh Shaiful Shamsudin 4 Disember 2020 386
 BAM jangka gugur jurulatih 
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan tetap menilai kedudukan hampir separuh daripada barisan kejurulatihan senior yang bakal tamat kontrak hujung tahun ini dan dikhabarkan dua daripadanya berstatus ketua jurulatih.

Secara keseluruhan ada 12 jurulatih di bawah program senior yang dikendalikan Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann.

Yang pasti, kedua-dua ketua jurulatih itu bukan pengendali skuad beregu lelaki dan wanita, Flandy Limpele dan Chan Chong Ming, memandangkan mereka baru sahaja diserapkan ke dalam skuad kebangsaan Julai lalu.

Penilaian kedudukan jurulatih yang bakal tamat kontrak tidak sahaja berdasarkan keputusan kejohanan yang terhad sepanjang tahun ini. 

"Kami tengah buat penilaian.

"Sebaik menerima butiran terperinci mengenainya, kami akan buat pengumuman rasmi.

"Masing-masing mempunyai komitmen tersendiri daripada segi bidang dan sasaran. Walaupun tiada pertandingan, kami akan menilainya secara menyeluruh daripada segi persembahan dan tanggungjawab," katanya kepada wakil Astro Arena, Shahrazad Sani, di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.





Dalam pada itu, Shahrazad turut mendapatkan pandangan bekas Pengarah Prestasi Tinggi BAM, Datuk James Selvaraj, berkaitan isu itu lebih-lebih menjelang Sukan Olimpik Tokyo, Julai tahun depan. 

Dia menegaskan ia situasi sukar yang ditempuhi badan induk termasuk barisan jurulatih yang bakal tamat kontrak.

Bagaimanapun, dia mengakui ia satu keputusan drastik sekiranya khidmat mereka dilepaskan.

"Sebelah tangan seperti mahu mengekalkan mereka tetapi sebelah  lagi mahu mereka dilepaskan. Mereka semua manusia biasa, semua orang melalui waktu susah ketika ini. 

"Pada pendapat saya, mereka tidak seharusnya digugurkan kerana tiada analisis (untuk dirujuk prestasi mereka) memandangkan tidak banyak kejohanan yang disertai pemain, jadi jurulatih tidak tahu sama ada mereka telah melaksanakan tugas dengan baik atau tidak.

"Beri mereka peluang.

"Oleh kerana sudah lapan bulan mereka tidak berbuat apa-apa dan hanya beberapa bulan lalu mula aktif semula.

"Mereka perlu beri tumpuan kepada kecergasan, kerana ia merosot maka ada masalah dalam program yang dijalankan, " kata James.
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen