BAM harus segera cari pengganti Jeremy

Oleh Penulis Jemputan 2 Oktober 2017 443
BAM harus segera cari pengganti Jeremy
Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Cheah Soon Kit, menegaskan keperluan untuk mencari pengganti Jeremy Gan dengan kadar segera selepas jurulatih itu mangambil keputusan mengundurkan diri daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Jeremy akan berkhidmat sehingga hujung tahun ini bagi memenuhi notis tiga bulan peletakan jawatannya.

Bukan sahaja untuk memenuhi tuntutan ketika sesi latihan pusat tetapi juga memastikan proses peralihan yang efektif.

Ini kerana program serta perancangan pemain keluar beraksi dalam kejohanan kompetitif akan berterusan sehingga hujung tahun ini.

"Saya juga agak terkejut apabila mendapat tahu tentang berita peletakan jawatan Jeremy. Selepas ini, saya serta-merta akan mencari pengganti untuk meneruskan perancangan sedia ada," katanya.

Soon Kit juga memberi bayangan kriteria jurulatih yang dimahukan untuk membantunya mengembalikan prestasi skuad ini.

Bekas pemain tempatan menjadi keutamaan, sekaligus menyaksikan individu seperti Yap Kim Hock dan Datuk Seri Jalani Sidek berupaya menjadi kepakaran yang berkualiti bagi membantu beregu kebangsaan.

"Saya lebih gemar untuk mendapatkan jurulatih baru dalam kalangan bekas pemain. Setakat ini, segala-galanya terserah kepada pihak pengurusan."

BAM kelmarin mengesahkan menerima surat peletakan jawatan jurulatih beregu lelaki itu.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, mengesahkan surat peletakan jawatan itu adalah notis selama tiga bulan.

Bagaimanapun, Norza tidak memberitahu punca sebenar peletakan jawatan Jeremy.

Jurulatih daripada kalangan bekas pemain kebangsaan:

• Yap Kim Hock 
• Datuk Seri Jalani Sidek
• Lee Wan Wah
• Chew Choon Eng
• Chan Chong Ming
• Zakry Latif
• Faruzizuan Tazari

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen