Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mohon budi bicara Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) untuk mengekalkan Terbuka Malaysia.

Terbuka Malaysia perlu ada dalam kalendar kelayakan Sukan Olimpik biarpun ia mungkin dilangsungkan November depan.

BAM telah pun mengutus surat kepada badan dunia itu mencadangkan tarikh baru Kejohanan Terbuka Malaysia sejurus mengumumkan penundaan saingan berkenaan pada 14 Mac lalu susulan penularan wabak koronavirus baru (Covid-19).

Tarikh cadangan dikemukakan adalah sekitar November depan, namun masih perlu menunggu persetujuan daripada BWF.

Sebelum ini, Terbuka Malaysia merupakan salah satu destinasi untuk pemain dunia mengumpul mata kelayakan Sukan Olimpik dengan tarikh tutupnya adalah pada 26 April depan.

"Kami sudah menghantar surat rasmi kepada BWF untuk meminta Terbuka Malaysia ditunda ke November kerana ada ruang ketika itu.

"BWF telah balas dengan mengatakan perlu mengkajinya secara menyeluruh kerana banyak kejohanan yang telah ditunda," kata Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, kepada wakil Nadi Arena, Adam Zamri, hari ini.

Sehubungan itu, dengan penundaan temasya Olimpik Tokyo oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), BAM turut harap BWF dapat mengekalkan saingan itu sebagai kalendar kelayakan untuk temasya berkenaan.

"Mungkin mereka boleh mengajurkan kejohanan-kejohanan terlebih dahulu kemudian barulah memikirkan soal proses kelayakan.

"BWF tidak perlu mengira semula mata kelayakan. Bekukan ranking sedia ada dan selepas itu cari tempoh waktu bagi kejohanan yang ditunda itu untuk kejohanan ini diambil kira sebagai kelayakan."

Setakat ini, BWF masih belum beri ketetapan tarikh baru kelayakan dan kaedah yang bakal digunakan setelah wujud cadangan untuk membekukan ranking semasa kesemua pemain.