Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan berusaha habis-habisan untuk mendapatkan kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya skuad badminton negara dapat menyertai dua Kejohanan Terbuka Thailand dan Final Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di negara itu Januari depan.

Sebelum ini, permohonan pasukan bola sepak, Johor Darul Ta'zim (JDT), untuk ke Doha, Qatar bagi saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) ditolak MKN dan ia menimbulkan kegusaran buat BAM, yang merancang untuk ke Bangkok pada 4 Januari ini.

Dua kejohanan Terbuka Thailand itu cukup penting untuk pemain negara memungut mata kelayakan ke Final Jelajah Dunia BWF dan ke Sukan Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

Menerusi satu temu bual Nadi Arena, Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann, berkata: "Kami akan mempersiapkan kes kami bersama nasihat daripada MSN (Majlis Sukan Negara) dan ISN (Institut Sukan Negara) dan harap-harap kami dapat ke sana.

"Sudah pasti kami akan mengikut segala SOP (prosedur operasi standard) yang diperlukan dan dengan itu, kami berharap akan diberikan kebenaran."

Choong Hann turut mempertahankan keputusan BAM menamatkan kem latihan secara kuarantin dan menjamin segala sarananan dan SOP yang ketat akan diaplikasikan bagi mengelak kewujudan sebarang kluster COVID-19 yang tidak diingini.

Jelasnya, tempoh rehat singkat itu penting untuk pemain melepaskan rindu bersama keluarga masing-masing.

"Saya fikir ia (peningkatan kes) adalah disebabkan kes yang disyaki dalam agensi.

"Jadi, kami hanya boleh bersedia sebaik mungkin tetapi adakalanya anda masih boleh terkena jangkitan.

"Selagi kami menuruti segala protokol sebaik mungkin, saya percaya hanya itu sahajalah yang boleh kami lakukan buat ketika ini," tambahnya.