BAM cadang kurangkan pemain, jurulatih 

Oleh Staff Writer 5 Disember 2018 185
BAM cadang kurangkan pemain, jurulatih 
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan mengurangkan lagi jumlah pemain keseluruhan dalam skuad kebangsaan kepada 48 pemain bermula awal tahun depan. 

Bagi memastikan kualiti lebih baik dalam skuad kebangsaan, BAM menerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) menyasarkan kelompok 48 pemain yang akan dijadikan sandaran tahun hadapan.

Ketika ini, seramai 60 pemain tersenarai dalam skuad kebangsaan dengan beberapa daripada mereka sah akan meninggalkan badan induk berkenaan.

Antaranya, pemain perseorangan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, serta pemain beregu wanita, Woon Khe Wei dan Goh Yea Ching.

Selain itu, barisan kejurulatihan juga akan dikurangkan kepada 12 jurulatih berbanding 17 ketika ini.

"Barisan jurulatih akan menyenaraikan calon pemain bulan depan. Maka, program kebangsaan tahun depan akan terdiri daripada 48 pemain.

"Dalam masa sama, BAM kini mempunyai 17 jurulatih dan jumlah itu akan dikurangkan kepada 12 orang sahaja," kata Pengerusi C&T, Datuk Ng Chin Chai, selepas mempengerusikan mesyuarat C&T yang terakhir tahun ini di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, hari ini. 

Turut hadir, Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann.

BAM juga telah mencadangkan 14 pemain kepada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk ditempatkan di peringkat pertama program latihan baru musim 2019.

"MSN dan BAM masing-masing mempunyai senarai pemain pilihan. 

"Kami mahu mengenal pasti lebih ramai bakat baru untuk digilap sementara MSN pula ingin mendapatkan pemain yang sudah mempunyai reputasi," katanya. 
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen