Selain memperkasakan bahagian elit, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut memberikan perhatian terhadap program skuad remaja dengan penstrukturan semula sistem kejurulatihan bahagian berkenaan bermula 2018.

Menyedari kepentingan untuk mempunyai barisan pelapis berkualiti, bahagian remaja kebangsaan yang bertempat di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), akan diterajui dua ketua jurulatih.

Kwan Yoke Meng akan mengendalikan pemain yang ketika ini berada dalam tingkatan empat dan lima manakala Zhou Kejian menerajui pemain bermula daripada tingkatan satu.

Itu merupakan antara intipati mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif BAM yang dipengerusikan presidennya, Datuk Seri Norza Zakaria, hari ini.

"Strukturnya adalah untuk melengkapkan model (perancangan) bagi pembangunan pemain muda kita," katanya.

Sementara itu, Norza berharap satu langkah dapat diambil oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pendidikan bagi memastikan pemain remaja yang ketika ini berada di SSBJ dapat menyambung pengajian mereka di Akademi Badminton Malaysia.

Ia selaras dengan perancangan badan induk itu bagi mengambil alih sepenuhnya akademi berkenaan menjelang 2018.

"Kementerian Pendidikan dan KBS harus bersama-sama kerana ia adalah (keputusan) peringkat tinggi. Kami memerlukan satu modul pendidikan yang fleksibel," katanya lagi.