BAM belum terima permohonan V Shem-Wee Kiong untuk keluar BAM

Oleh Penulis Jemputan 19 Disember 2018 82
BAM belum terima permohonan V Shem-Wee Kiong untuk keluar BAM
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, berkata badan induk itu belum menerima sebarang permohonan daripada gandingan beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, untuk keluar daripada badan induk berkenaan.

Skuad badminton negara berdepan kemungkinan untuk kehilangan satu lagi gandingan selepas beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, mengambil keputusan untuk bergelar profesional bermula 1 Januari ini.

Difahamkan, V Shem dan Wee Kiong telah mengadakan pertemuan dengan Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, di samping beberapa penaja luar dalam menentukan hala tuju mereka bagi musim 2019.

Norza, bagaimanapun, mengesahkan tiada sebarang surat telah dihantar oleh gandingan itu bagi menyatakan hasrat mereka untuk keluar daripada BAM.

"Saya telah berjumpa dengan mereka untuk membincangkan masa depan mereka, terutama sekali perancangan untuk kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020. Mereka tetap mendapat sokongan daripada BAM dan saya masih lagi belum menerima permohonan mereka untuk keluar daripada persatuan," katanya.

Sementara itu, Norza memberi jaminan BAM tetap akan mengekalkan hubungan baik dengan pemain yang tidak lagi berada di bawah naungan badan induk berkenaan.

Selain Peng Soon-Liu Ying, antara pemain senior lain yang meninggalkan BAM ialah pemain perseorangan lelaki, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, serta pemain beregu wanita, Woon Khe Wei.

"Pemain-pemain yang mahu bergerak bebas boleh berbincang dengan kami kerana terdapat beberapa pemain senior yang mahu beraksi dalam Sukan Olimpik dalam suasana yang lebih fleksibel buat mereka."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen