BAM ambil langkah proaktif pembangunan remaja 

Oleh Penulis Jemputan 15 November 2019 112
BAM ambil langkah proaktif pembangunan remaja 
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan memupuk budaya baru dalam kalangan pemain remaja negara yang akan belajar dan berlatih sepenuh masa di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, bermula Januari depan. 

Jawatankuasa Pembangunan BAM akan menentukan hala tuju program remaja pasca kegagalan dalam Kejohanan Asia dan Kejohanan  Dunia 2019 menerusi satu kertas kerja yang akan dibentangkan bulan depan. 

Seorang pengarah pembangunan remaja akan dilantik bagi memulakan tugas sekitar Januari atau Februari depan.

Dalam masa sama, badan induk itu sudah mendapat persetujuan daripada semua pihak untuk pelatih skuad remaja belajar menggunakan kurikulum aliran antarabangsa menerusi medium sijil menengah antarabangsa (IGCSE).

"Kami mahu mengenal pasti kelemahan ketara daripada segi pembangunan badminton negara dan melihat amalan-amalan pihak luar yang menampakkan hasil dalam usaha meningkatkan sistem di sini. 

"Kami juga perlu bersetuju untuk mengenal pasti pengarah pembangunan remaja bersempena untuk memindahkan pemain di Bukit Jalil ke sini (ABM)," kata Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria. 

Dalam perkembangan lain, kehilangan khidmat perseorangan wanita, Goh Jin Wei, yang baru menjalani pembedahan usus, mendorong BAM hanya menjanjikan satu pingat emas berbanding dua sebelum ini dalam Sukan SEA Filipina hujung bulan ini. 

"Kami tidak mahu memberi tekanan yang tidak diperlukan kepada barisan pemain.

"Tetapi kami percaya kalau mereka dipersiapkan daripada segi mental dan fizikal, mereka boleh memberi kejutan."
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen