Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak akan mengambil risiko dengan kelayakan Piala Thomas menerusi Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2018 apabila menegaskan keperluan untuk Datuk Lee Chong Wei tampil mewakili skuad negara.

Badan induk badminton negara itu akur dengan kemahuan Chong Wei untuk berehat panjang daripada menyertai sebarang kejohanan sehingga Mac 2018 selepas Siri Super Akhir di Dubai, bulan depan.

Bagaimanapun, BAM menerusi presidennya, Datuk Seri Norza Zakaria, mengesahkan sudah ada persefahaman dengan Chong Wei untuk dia beraksi bagi tugasan skuad kebangsaan dalam tempoh itu.

"Chong Wei sudah memberi komitmen bahawa dia akan bersama-sama kita untuk Piala Thomas.

"Mungkin dia akan berehat untuk kejohanan-kejohanan penting lain. Dia bersetuju untuk bersama skuad Piala Thomas," katanya.

Kejohanan Berpasukan Asia akan diadakan di Alor Setar, Kedah, dari 6 hingga 11 Februari tahun depan.

Oleh itu, peluang terbaik Malaysia untuk layak ke pusingan akhir Piala Thomas dan Uber di Bangkok, Mei tahun depan adalah dengan menamatkan kempen sekurang-kurangnya di tempat keempat dalam Kejohanan Berpasukan Asia.

Tambah Norza, BAM sedar skuad kebangsaan tidak lagi boleh bergantung harap kepada ranking negara di bawah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk membantu mereka layak ke aksi perebutan dua piala itu seperti edisi tahun lalu.

"Apabila pencapaian pemain selepas Sukan Olimpik 2016 agak menurun, kita perlu berjuang untuk kelayakan," ujarnya.

"Cara yang terbaik adalah melalui kedudukan keempat terbaik di Alor Setar. Kalau kita bergantung kepada pintu belakang (berdasarkan ranking), saya rasa ia akan sukar kerana ia melibatkan India, Hong Kong dan Taiwan.

"Ini bukan tugas yang senang tetapi saya, secara jujurnya, percaya kita perlu untuk fokus langkah demi langkah. Kami perlu mengenal pasti skuad (Piala Thomas) pada awal Januari dan perlu pergi ke Alor Setar dengan niat untuk memenanginya," katanya.