Badminton Jelajah Dunia Akhir: Peng Soon-Liu Ying hidupkan peluang 

Oleh Bernama 14 Disember 2018 2732
Badminton Jelajah Dunia Akhir: Peng Soon-Liu Ying hidupkan peluang 
Pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, kembali menghidupkan peluang ke separuh akhir Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir BWF di Guangzhou, China, selepas memenangi aksi pertama mereka, malam tadi. 

Menurut laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF), www.bwfworldtourfinals.bwfbadminton.com, ​​​​​pasangan nombor enam dunia itu yang juga merupakan pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016, tangkas menundukkan pasangan beregu Indonesia, Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja, 21-14, 21-12. ​​​​​​​​​​​

Bagaimanapun, mereka yang turun selaku pilihan ketiga/keempat kejohanan, menggalas tugas berat. Mereka perlu menang ke atas beregu pilihan kedua dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino, dalam perlawanan terakhir Kumpulan B hari ini untuk mara ke saingan seterusnya.​​

Nasib berbeza menimpa satu lagi beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai, apabila impian mereka ke separuh akhir terkubur walaupun masih berbaki satu perlawanan lagi selepas gagal mengutip sebarang mata kemenangan dalam dua perlawanan awal Kumpulan A.​​​​​​​

Mereka ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan nombor satu dunia, Zheng Siwei-Huang Yaqiong dari China dalam pertarungan selama setengah jam yang berakhir 16-21, 12-21.

Soon Huat-Shevon akan melengkapkan saingan Kumpulan A bertemu Marcus Ellis-Lauren Smith dari England.​​​​​​​

Mengikut format kejohanan, dua pasangan terbaik daripada setiap Kumpulan A dan B akan mara ke separuh akhir.

Kejohanan itu yang sebelum ini dikenali sebagai Pusingan Akhir Siri Super BWF adalah saingan penamat dalam kalendar BWF musim ini dan lapan pemain terbaik dalam lima kategori berbeza akan memburu kejuaraan yang menawarkan hadiah wang tunai AS$1.5 juta (RM6.285 juta) itu.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen