Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, bermula dengan langkah kiri apabila tewas dalam perlawanan sulung Kumpulan B, Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir BWF di Guangzhou, China, hari ini.

Pasangan emas Sukan SEA Ke-30 di Filipina itu terpaksa akur tunduk kepada kelebihan Hendra Setiawan-Mohammad Ahsan dari Indonesia 19-21, 16-21.

Namun, Aaron menafikan bahawa kekalahan itu disebabkan mereka masih dibelenggu keletihan.

"Perlawanan hari ini saya rasa tidaklah terlalu teruk kerana kami masih lakukan apa yang dibincang. Hanya mata daripada set pertama dan kedua agak jauh ketinggalan baru kejar balik.

"Bila kejar balik, sudah agak lambat dan ditambah pula dengan banyak buat kesilapan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Selain gandingan Indonesia, pasangan kesembilan dunia itu diundi dalam Kumpulan B bersama-sama dua gandingan Taiwan, Lee Yang-Wang Chi-Lin dan Lu Ching Yao-Yang Po Han.

Satu lagi pasangan Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo, diundi dalam Kumpulan A bersama juara bertahan, Li Jun Hui-Liu Yu Chen (China), dan dua gandingan Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda dan Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe.

Sementara itu, beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, juga bermula hambar apabila tunduk kepada pasangan China, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping, 11-21, 14-21 dalam perlawanan pertama Kumpulan A.

-- BERNAMA