Semangat skuad wanita negara kini berada di kemuncak untuk menamatkan saingan peringkat kumpulan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2018 sebagai juara, namun dalam masa sama bersikap realistik dengan kehebatan Thailand.

Daripada perspektif acara perseorangan, Soniia Cheah dan Goh Jin Wei diletakkan selaku harapan utama untuk mencuri mata dan mereka dijangka berdepan Nichaon Jindapol dan Pompano Chocuwong.

Jika kedudukan terikat 2-2, maka pertemuan perseorangan ketiga akan menjadi ujian getir memandangkan Thailand memiliki pemain berpengalaman menerusi Busanan Ongbamrungphan.

"Peluang masih seimbang. Untuk perseorangan wanita, mungkin Busanan memiliki kelebihan tetapi kami akan cuba melalui perseorangan pertama dan kedua. Saya akan membincangkan semula dengan pemain dan barisan jurulatih lain kerana corak permainan Busanan lebih agresif.

"Ketiadaan Woon Khe Wei tidak bermakna tekanan akan terarah kepada acara beregu. Semua pemain akan merasai tekanan yang sama," kata ketua jurulatih wanita negara, Datuk Tey Seu Bock.

"Tidak kira sama ada Khe Wei ada atau tidak, ia tetap menjadi aksi yang sukar. Saya mengharapkan agar kami dapat menampilkan kejutan," ujar pemain beregu wanita negara, Vivian Hoo.