Persidangan yang melibatkan tujuh negara badminton Asia berakhir hari ini apabila masing-masing sepakat dengan keputusan bahawa penggunaan sistem mata yang baru harus dikaji dengan teliti sebelum dimuktamadkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Sebelum ini, BWF cuba memperkenalkan sistem 11 mata berbanding 21 mata sebelumnya.

Selain itu, penambahan set juga bakal berubah daripada tiga ke lima set yang cuba dipraktikkan di peringkat remaja.

Namun, Konfederasi Badminton Asia (ABC) tidak mahu terburu-buru dengan pengumuman yang dilakukan BWF dan tetap akan menjalankan kajian terperinci sebelum memutuskan untuk menerima pakai sistem mata baru itu.

Semuanya akan dimuktamadkan ketika mesyuarat agung tahunan ABC di Melbourne, Australia pada Mei 2017.

"Kami perlu waktu untuk membuat banyak ujian. Kami perlu mendapatkan maklum balas sebelum BWF membuat keputusan," ujar Presiden ABC, Anton Aditya Subowo.

Antara lain yang turut dibincangkan, perincian undang-undang kesalahan servis dan juga jadual perlawanan antarabangsa yang tidak teratur.

"Oleh kerana ini benda yang baru, sudah tentulah reaksi awal adalah permainan tamat terlalu cepat dan tidak bersesuaian.

"Kami akan mencuba di pelbagai peringkat dari muda sehingga senior," kata Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (FAM), Tan Sri Al Amin Abdul Majid.