Badminton Asia komited untuk terus memajukan sukan itu di rantau Asia apabila menjalin usahasama dengan Seri Mutiara Development dan E Plus Global sebagai rakan strategik.

Kerjasama yang dijalin itu dilakukan untuk membina satu hub sukan yang akan dibangunkan di Cyberjaya menjelang tahun 2020.

Hub sukan yang dinamakan Mutiara World itu akan dilengkapi fasiliti bertaraf dunia dan dijangka bakal menjadi tempat yang bukan sahaja khusus kepada penganjuran acara sukan tetapi dibuka kepada festival kebudayaan dan muzik.

“Kami melihat bahawa dengan mempunyai satu tempat sebagai rumah di Malaysia dengan bantuan Seri Mutiara boleh memberikan satu jaminan masa depan yang cerah buat sukan badminton di sini,” kata Presiden Badminton Asia, Anton Aditya Subowo.

Usahasama dengan E Plus Global pula meliputi proses promosi untuk menganjurkan acara sukan antarabangsa bersama Badminton Asia.

“Apa yang kami inginkan pada kali ini perlu dibentuk agar difahami oleh generasi muda, jadi kami meminta E Plus untuk mempromosikan setiap program yang diadakan bagi tujuan menarik minat anak-anak muda,” tambahnya.