Status selaku pilihan utama Kejohanan Badminton B-18 Kebangsaan tidak mmeberi tekanan buat pemain remaja negara, Kok Jing Ho, sebaliknya ia menjadi satu penyuntik semangat buatnya memburu kejuaraan pertama tahun ini.

Jing Ho menepati ramalan apabila mudah lolos ke pusingan ketiga Kejohanan B-18 Kebangsaan selepas menewaskan pemain muda dari Kuala Lumpur, Chong Ee Jack, 21-15, 21-10.

Walaupun bergelut dengan masalah lampu dalam aksi pusingan kedua, ia tidak menghalangnya untuk melakar kemenangannya.

"Ini kali pertama hanya sebahagian gelanggang ini digunakan. Faktor ini mungkin menyebabkan kedudukan lampu sedikit berubah.

"Gelanggang ini juga agak berangin dan kalau tidak beri perhatian, memang sukar untuk menyesuaikan diri," katanya di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.

Tambahnya, tiada tekanan ke atas dirinya yang memburu kejuaraan pertama tahun ini.

Pusingan ketiga hari ini menyaksikannya bakal bertemu dengan pemain dari Perak, Abdul Rahman Adika Aima, yang dengan mudah mengalahkan pemain di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tai Wei Qin, 21-13, 21-9.

"Saya dan jurulatih menetap sasaran untuk bergelar juara.
“Memandangkan saya di kedudukan pertama dalam kancah akademi, ia menyuntik keyakinan kepada saya."

Editor: Shaiful Shamsudin