Axelsen perbaiki rekod pertemuan dengan Chong Wei

Oleh Penulis Jemputan 24 September 2017 5307
Axelsen perbaiki rekod pertemuan dengan Chong Wei
Semangat juara dunia, Viktor Axelsen, yang enggan menyerahkan mahkota kejuaraan Siri Super Terbuka Jepun kepada Datuk Lee Chong Wei membuatkan bekas pemain nombor satu dunia itu gagal mencetak gelaran ketujuh dalam finalnya yang ke-100 di Tokyo, hari ini.

Enam tahun selepas bertemu buat kali pertama, corak permainan Axelsen makin memberi debar buat Chong Wei yang diletak selaku pilihan kelima.

Hanya meraih satu kemenangan daripada sepuluh pertemuan, Axelsen kali ini bertekad untuk memperbaiki rekodnya itu dengan kemenangan 21-14, 19-21, 21-14.

"Ia perlawanan yang sukar. Saya hanya pernah menewaskan Chong Wei sekali, jadi saya sangat mahu memenanginya sekali lagi kerana saya tahu dia boleh bermain pada tahap yang tinggi.

"Saya sangat gembira. Saya tiada apa yang mahu dikatakan, sudah tentu. Saya mengekalkan prestasi baik selepas Kejohanan Dunia (Glasgow) ," kata Axelsen.

Dinobat selaku naib juara Terbuka Jepun, kejayaan menjuarai Seluruh England pada Mac lalu kekal sebagai pencapaian terbaik Chong Wei sepanjang musim 2017 ini.

"Keadaan Chong Wei tidak bagus pada ketika ini. Dia tahu dia kalah pusingan pertama dalam Kejohanan Dunia dan fikirannya banyak terganggu.

"Di sini pun, keadaannya agak teruk tetapi satu demi satu perlawanannya bertambah baik. Tetapi hari ini, permainannya lebih baik daripada semalam. Saya memberi pujian kepadanya," kata jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock. 

Chong Wei, yang juga pemenang tiga kali pingat perak Olimpik sudah enam kali menjadi juara dalam Terbuka Jepun pada 2007, 2010, 2012, 2013, 2014 dan 2016.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen