Astro komited dengan wawasannya untuk membantu melahirkan pemain pelapis badminton yang mampu menggalas tugas negara di pentas dunia.

Perkara ini ditekankan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan, sempena majlis penyampaian sijil Program Astro Kem Badminton di Jepun, hari ini.

"Kami berasakan badminton adalah sukan utama di Malaysia dan kami mahu meningkatkan lagi pendedahan sukan ini bagi menghasilkan pemain bertaraf antarabangsa," katanya.

Astro turut melanjutkan kerjasama bersama Kem Badminton Jepun sehingga tahun 2020 dan diharapkan faedah yang diperoleh di negara itu dapat mencetuskan satu aspirasi baru buat badminton negara.

"Bukan hanya menjadi juara di peringkat kebangsaan tetapi melihat kepada saingan antarabangsa. Kami berharap latihan ini akan membantu mereka untuk mendapatkan pendedahan serta pengalaman yang berguna," tambahnya.