Astro Kasih medan cungkil bakat baru

Oleh Penulis Jemputan 3 November 2017 118
Astro Kasih medan cungkil bakat baru
Jurulatih badminton remaja negara, Kwan Yoke Meng, mahu menjadikan Kejohanan Jemputan Badminton Astro Kasih 2017 sebagai medan mencari bakat baru untuk digilap sebagai persediaan awal bagi menghadapi Kejohanan Remaja Dunia dan Asia, tahun depan.

Kejohanan yang sudah memasuki edisi kedua itu telah berjaya menghimpunkan 228 peserta daripada 19 pasukan secara keseluruhan.

Sebanyak 10 pasukan bawah 17 tahun dan sembilan pasukan bawah 15 tahun akan berentap dalam format berpasukan campuran.

"Kecuali daripada segi teknik, saya mahu melihat semangat bertanding dan juga kekuatan mental. Itu perkara yang sangat saya tekankan dalam setiap pemain muda untuk mewakili negara di masa depan," kata Yoke Meng.

Penyertaan bakat baru yang ramai membolehkan YokeMeng yang turut bertindak sebagai ketua program kejohanan itu meninjau pemain-pemain baru untuk diserap masuk ke Sekolah Sukan Bukit Jalil di masa akan datang.

"Saya berasa sangat bangga kerana dapat berentap di peringkat yang lebih tinggi dan semangat bertanding itu berbeza dengan keadaan di Melaka," kata pemain Sekolah Sukan Melaka, Ahmad Qamarul Mustafa Kamal.

"Pentas ini lebih besar daripada pentas biasa. Tahun ini saya beraksi di peringkat umur sendiri dan semua pemain adalah pemain yang bagus," tambah pemain skuad Astro Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Ong Zhen Yi.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen