Kerjasama dengan Ampang Jaya BC menjadi sandaran utama buat pemain beregu campuran negara, Chan Peng Soon, bagi menghadapi tahun 2019 selaku pemain profesional.

Menuju detik akhir bergelar pemain kebangsaan, Peng Soon serta gandingannya, Goh Liu Ying, perlu merencana perancangan rapi andai mahu mencapai impian ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Antara perkara yang menjadi perhatiannya adalah gelanggang latihan dan khidmat jurulatih peribadi.

Sebelum ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberikan kelonggaran buat gandingan itu berlatih dengan pemain kebangsaan yang lain.

Menurut Peng Soon, dia mendapat sokongan penuh daripada Ampang Jaya BC sebagai kelab yang diwakilinya dalam saingan SS Purple League (SSPL) bagi mengharungi musim 2019.

Sedikit kekangan adalah Liu Ying diikat oleh kelab lain, iaitu Puchong United BC.

"Saya sedang berusaha untuk mengikat perjanjian dengan Ampang Jaya bagi mendapatkan gelanggang latihan.

"Kami juga berkemungkinan memerlukan jurulatih daripada pasukan itu.

"Segalanya masih dalam perbincangan, namun saya optimis kami dapat menggunakan gelanggang latihan mereka," katanya.

Peng Soon antara yang hadir dalam sesi bertemu peminat yang dianjurkan AEON selaku penaja utama Ampang Jaya BC di Petaling Jaya, hari ini.

Turut hadir adalah perseorangan nombor satu dunia, Kento Momota, dan juara remaja dunia, Goh Jin Wei.

Seperti pemain lain, Momota bertekad untuk tampil dengan aksi lebih baik sepanjang tahun depan bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo sekali gus memburu emas di negara kelahirannya itu.

"Sudah pasti saya mengidamkan pingat emas Sukan Olimpik, apatah lagi ia berlangsung di tempat sendiri.

"Apa yang penting adalah saya perlu mengekalkan persembahan yang baik sepanjang tahun depan, khususnya bagi kelayakan ke temasya itu," katanya.