Amelia mahu lahirkan juara remaja dunia

Oleh Penulis Jemputan 26 November 2017 1149
Amelia mahu lahirkan juara remaja dunia
Pemenang pingat emas beregu wanita Sukan SEA 2015, Amelia Alicia Anscelly, mempunyai misi peribadi apabila memulakan tugas sebagai jurulatih skuad remaja negara bermula Januari 2018, iaitu melahirkan beregu wanita bertaraf juara dunia remaja.

Di sebalik pengaruh dan bakat yang dimiliki skuad remaja negara, Malaysia belum pernah memiliki juara remaja dunia daripada kategori ini.

Antara pencapaian terbaik adalah pingat gangsa yang dimenangi beregu senior ketika ini, Lee Meng Yean-Chow Mei Kuan, dalam edisi 2012, di Chiba, Jepun.

Berdasarkan pencapaian tersebut, Amelia berasakan dia berupaya memainkan peranan besar buat badminton Malaysia berbanding sebagai seorang pemain.

"Dalam peringkat remaja, pemain-pemain kurang mendapat pendedahan dan skuad beregu wanita Malaysia agak ketinggalan. Saya berpendapat prestasi kemuncak mereka hadir apabila beraksi dalam kejohanan senior. Saya berjaya mencipta kejayaan bersama Soong Fie Cho ketika beraksi dalam Sukan SEA 2015," kata Amelia.

"Sasaran utama saya adalah mahu memberikan ilmu kepada pemain-pemain muda untuk mencipta kejayaan dalam peringkat remaja," tambahnya.

Amelia masih mengikuti rapat perkembangan bekas rakan sepasukan meskipun bersara pada April lalu.

Bagi Amelia, pembentukan skuad remaja yang lebih berkualiti berupaya mengurangkan tekanan ke atas pemain senior untuk tempoh jangka panjang.

"Kami perlu memberikan masa kepada skuad beregu wanita untuk menghasilkan kejayaan, tekanan menjadi penghalang utama buat mereka," katanya lagi.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen