Meskipun menjadi mangsa ragut, Ameer Zainuddin tidak membenarkan insiden itu mengganggu rentaknya yang bersama Hoo Pan Rong dalam misi mencipta kejutan dalam saingan beregu lelaki Kejohanan Remaja Dunia di Bilbao, Sepanyol.

Ameer dan seorang lagi wakil negara, Ooi Zi Heng, melalui detik hitam sewaktu keluar membeli barang keperluan di bandar Bilbao sebelum beraksi dalam pusingan pertama lewat malam tadi.

Walaupun hanya telefon bimbit mereka yang hilang, Ameer menganggap insiden itu sebagai satu cabaran dan gangguan sebelum perlawanan.

“Semalam, saya keluar bersama rakan untuk membeli barang keperluan sebelum saya diragut. Saya telah memberitahu ibu bapa saya dan tidak mahu perkara ini mengganggu saya,” kata Ameer.

Di dalam gelanggang, Ameer dan Pan Rong dipaksa bekerja keras menentang gandingan dari India, J. Bodhit dan M. Mithun.

Kedua-duanya, yang juga perlu memberikan perhatian terhadap kempen dalam saingan beregu campuran, bangkit daripada ketinggalan dalam setiap set untuk menang 21-18, 21-12.

“Mungkin sudah lama tidak beraksi, masih tidak menemui rentak permainan dan kami cuba menguji setiap pukulan di atas gelanggang," kata Pan Rong.

“Kami menjangkakan bertemu India di awal pertandingan, kami berharap untuk mara lebih jauh lagi,” tambah Ameer.

Keputusan Badminton Kejohanan Remaja Dunia:

Lee Zii Jia mn Brian Holtschke 21-8, 21-8.

Goh Jin Wei mn Miranda Wilson 21-9, 21-11.

Sim Fong Hau mn Jonathan Matias 21-12, 21-17.

Leong Jun Hao mn Grigol Nalgranyan 21-6, 21-5.

M. Thinaah mn Aurum Oktavia 21-18,12-21, 21-15.

Pearly Tan kk Sara Pereira 21-19, 20-22, 22-24.