Alumni Kem Badminton Astro merupakan antara pemenang utama saingan Terbuka Remaja Jerman yang berakhir semalam.

Dalam acara perseorangan lelaki, Jacky Kok Jing Hong muncul juara selepas menewaskan wakil Indonesia, Alvi Wijaya Chairullah, 21-15, 21-15 sambil Justin Hoh menyertainya di podium selepas meraih gangsa.

Gandingan Wan Arif Wan Junaidi-Haikal Nazri mengungguli beregu lelaki selepas mengatasi Rayhan Nur Fadillah-Rahmat Hidayat (Indonesia) 13-21, 21-18, 21-16.

Jing Hong dan Wan Arif merupakan peserta Kem Badminton Astro pada 2014 sambil Justin hadir menerusi program edisi empat tahun lalu.

Selain tiga pemain itu, 12 nama yang membarisi skuad negara ke Jerman merupakan enam lagi wakil Alumni, Valeree Siow Zi Xuan, Cheng Su Hui, Myisha Khairul, Goh Boon Zhe, Tan Zhing Yi dan Fazriq Razif Sidek.

Malaysia juga meraih gangsa dalam kejohanan B-19 menerusi beregu campuran, Haikal dan Low Yee Yuan.

Kem Badminton Astro dilancarkan pada November 2012 untuk mengenal pasti bakal pemain muda berusia 10 hingga 12 tahun serta dibentuk menjadi pemain profesional menerusi siri latihan yang bersesuaian melibatkan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Program itu merupakan kolaborasi antara Astro Kasih, Kementerian Pendidikan Malaysia, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Persatuan Badminton Nippon (NBA).

Pada waktu ini, lebih 50 peratus daripada skuad remaja kebangsaan merupakan Alumni Kem Badminton Astro.