Kurang dua bulan menjelang Kejohanan Badminton Piala Thomas, kem negara kini tidak senang duduk dengan keadaan semasa pemain perseorangan nombor satu negara, Lee Zii Jia selepas kecederaan belakang yang dialaminya bakal memaksa dia untuk berehat sehingga lapan minggu.

Kecederaan itu dialami Zii Jia ketika saingan Kejohanan Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) minggu lalu.

Dalam pertembungan tiga set menentang Soong Joo Ven, Zii Jia terpaksa mengerah kudrat sebelum tumbang.

Beberapa gerakan berisiko daripada Zii Jia untuk memperoleh mata mengundang padah apabila pergerakannya pasca-perlawanan mula terbatas.

Selepas tamat aksi tersebut, Zii Jia juga tidak dapat berinteraksi dengan media sekaligus mengundang kebimbangan.

Keputusan Zii Jia untuk menarik diri juga bersifat minit akhir apabila mengumumkan tidak dapat meneruskan kempen sebelum menentang Ng Tze Zong, yang muncul juara saingan tertutup itu.

Pendedahan Zii Jia kepada wartawan Nadi Arena, Ahmed Shahrazad Sani menyerlahkan betapa serius kecederaan yang pernah membelenggunya pada 2018.

"Saya telah kembali ke gelanggang dan beberapa pukulan belakang tidak dapat dilakukan dengan baik dan masih terasa kesakitan di bahagian belakang," kata Zii Jia.

"Saya berasakan memerlukan rehat sehingga empat minggu sebelum pulih sepenuhnya.

"Ia bukanlah kecederaan baru dan pernah memiliki pengalaman untuk mengharungi kesakitan ini.

"Setelah lama tidak beraksi dalam kejohanan, saingan yang baru-baru ini amat penting bagi saya untuk mendapatkan semula sentuhan pertandingan di sebalik mengalami kecederaan ini."