Jurulatih beregu lelaki negara, Jeremy Gan, sudah mula mencongak keperluan buat anak buahnya, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, untuk bergelar juara dalam Kejohanan Badminton Dunia di Glasgow, Scotland, 21-27 Ogos tahun depan.

Jeremy wajar dijulang di atas pencapaiannya membentuk V Shem-Wee Kiong menjadi antara beregu terbaik dunia dalam tempoh dua tahun sejak saingan Piala Thomas 2014.

Bagaimanapun, jurulatih yang sentasa tersenyum itu tidak akan berpuas hati selagi misi untuk menamatkan kemarau kejuaraan dunia buat Malaysia belum tercapai, bermula di Glasgow.

Malah, Jeremy berasakan mengapa tidak turut meletakkan sasaran juara dalam kejohanan berprestij lain dalam laluan ke Kejohanan Dunia, seperti saingan Seluruh England pada musim depan.

"Bagi saya, mereka berpeluang untuk bertanding dalam setiap kejohanan. Bermula sekarang, kami perlu membuat persediaan. Tetapi selepas ini, mereka perlu berehat dahulu.

"Selepas itu, mereka ada kejohanan besar seperti Piala Sudirman dan Kejohanan Dunia. Jadi, perlu berlatih awal," katanya.

Setidaknya-tidaknya, Jeremy lebih bangga dengan kemampuan anak buahnya untuk bekerja keras memperbaiki kelemahan di dalam gelanggang.

Malah, dia tahu bukan mudah untuk terus mengekalkan kemahuan beraksi dengan baik selepas sambutan besar-besaran pasca Sukan Olimpik Rio.

"Saya rasa mereka lebih konsisten berbanding sebelum ini. Saya harap prestasi mereka kekal baik untuk beberapa tahun lagi," tambahnya.

V Shem dan Wee Kiong menamatkan 2016 selaku beregu nombor satu dunia dengan mengungguli kedudukan ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas mengumpul 71,297 mata.

Mereka mengatasi pasangan dari Denmark, Mathias Boe-Carsten Mogensen, yang menarik diri daripada saingan Siri Super Akhir di Dubai.

Sementara itu, satu lagi gandingan negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, berada di kedudukan kesembilan.