Musim 2017 menyaksikan skuad beregu campuran berupaya meneruskan kehidupan tanpa gandingan utama Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, tetapi adakah dua beregu senior, Tan Kiang Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai, sudah layak diangkat sebagai harapan negara?

"Buat masa ini belum lagi," kata jurulatih beregu campuran negara, Pang Cheh Chang.

Meskipun dalam haluan berbeza dengan Liu Ying masih dalam proses pemulihan, jika digandingkan dengan Peng Soon, Cheh Chang tetap menganggap mereka yang terbaik.

Ini bermakna penampilan Kian Meng dan Pei Jing serta Soon Huat dan Shevon di pentas Siri Super masih belum berupaya memuaskan hati barisan kejurulatihan negara.

Kian Meng dan Pei Jing tersingkir awal dalam Terbuka Denmark tetapi layak ke suku akhir Terbuka Perancis.

Sementara itu, Soon Huat-Shevon mara ke separuh akhir Terbuka Denmark, sebaliknya dipaksa pulang awal di Perancis.

"Ini tidak bermakna kami tidak perhatikan Kian Meng dan Pei Jing. Saya melihat mereka masih berhempas-pulas dalam Siri Super, mungkin kualiti kejohanan itu sedikit berbeza.

"Kami masih sedang mencari penyelesaian untuk mereka menyesuaikan diri dengan lebih cepat," kata Cheh Chang.