Lee Meng Yean-Chow Mei Kuan menjadikan setiap mata yang berjaya direbut Lee So Hee-Shin Seung Chan cukup bermakna sebelum terpaksa akur terkandas dalam separuh akhir Kejohanan Badminton Akhir Jelajah Dunia, sebentar tadi.

Selepas menyingkirkan reputasi hebat pilihan utama, Greysia Polii-Apriyani Rahayu, semalam, beregu wanita Malaysia itu hampir menjelmakan kejutan kepada wakil Korea Selatan berkenaan.

Sungguhpun dalam perkiraan pertemuan ini mereka sentiasa ketinggalan, misi lawan untuk memungut mata mendapat tentangan sangat bermakna di Impact Arena, Thailand.

Kawalan gelanggang yang menarik daripada Meng Yean-Mei Kuan selain permainan di jaring yang kemas sering kali mengundang masalah kepada pencabar mereka sejak di peringkat remaja itu -- yang kini merekodkan lima kemenangan dalam enam pertemuan.

Namun, kekurangan penyudah membantutkan hasrat mereka.

Beregu negara yang di kedudukan 14 dunia itu cuba mengejar kedudukan pada penghujung set pertama sebelum terpaksa akur 14-21.

Kali terakhir pertemuan mereka di peringkat Kumpulan A kempen memihak kepada finalis kejohanan kedua Terbuka Thailand itu, namun hasrat Meng Yean-Mei Kuan untuk mengintai kejutan ke atas pilihan ketiga tersebut semakin sukar apabila lawan memungut enam mata berturut-turut untuk mendahului selesa 8-2.

Kedudukan itu sama sekali tidak mematahkan semangat juang pemain negara untuk merapatkan kedudukan.

Senario itu secara tidak langsung mencetuskan kepuasan di wajah beregu Korea tersebut sebaik bulu tangkis terkeluar garisan selepas berdepan pertahanan jitu daripada Meng Yean-Mei Kuan sebelum memungut mata ke-19.

Dua kesilapan di jaring kemudian menghadiahkan kemenangan 21-15 untuk Hee-Seung Chan melangkah ke final selepas 49 minit mengerah kudrat.

Satu lagi wakil Malaysia dalam separuh akhir hari di Bangkok hari ini ialah beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai.


RESULTS: World Tour Finals SF #KOR ?? Lee So Hee-Shin Seung Chan def. #MAS ?? Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean 21-14 21-15 #BadmintonMalaysia #BadmintonLovers

Posted by Badminton Association of Malaysia - BAM on Friday, January 29, 2021