Akhir Jelajah Dunia: Soon Huat -Shevon temui rentak ke separuh akhir 

Oleh Shaiful Shamsudin 29 Januari 2021 3092
Akhir Jelajah Dunia: Soon Huat -Shevon temui rentak ke separuh akhir 
Goh Soon Huat -Shevon Lai bangkit pada hari terakhir peringkat kumpulan Kejohanan Badminton Akhir Jelajah Dunia dengan kejayaan meneruskan kemaraan ke separuh akhir.

Beregu campuran kebangsaan itu menundukkan pencabar dari Indonesia, Hafiz Faizal-Gloria  Emanuelle, dalam saingan tiga set selama 57 minit, sebentar tadi. 

Soon Huat-Shevon tampak tertekan pada awal permainan apabila tewas kepada 17-21 dalam set pertama.

Semangat berbeza ditampilkan mereka dalam babak kedua dan ia jelas diterjemahkan di atas gelanggang.

 

RESULTS: World Tour Finals Group B #MAS 🇲🇾 Goh Soon Huat-Shevon Lai def. #INA 🇮🇩 Hafiz Faizal-Gloria Emanuella...

Posted by Badminton Association of Malaysia - BAM on Friday, January 29, 2021


Mereka mudah menguasai perlawanan untuk melakarkan kemenangan 21-13.

Perlawanan diheret ke set penentuan dan Soon Huat -Shevon enggan membiarkan kesilapan awal permainan berulang lagi.

Kedua-dua pihak enggan menyerah kalah apabila menonjolkan pertarungan seimbang, namun beberapa kesilapan yang dilakukan oleh Indonesia akhirnya membawa padah untuk kemenangan berpihak kepada Malaysia 21-13 untuk mara buat julung kalinya. 

"Kami amat lega. Kami membuat persiapan rapi untuk menghadapi perlawanan ini yang melibatkan taktikal dan permainan minda memandangkan ini pertarungan hidup mati kami. 

"Kami memastikan minda kami dalam keadaan baik sebaik set pertama dan meneruskannya dalam set kedua. 

"Kami berjaya meredakan tekanan di atas gelanggang dengan jeritan dan saling memberi sokongan," kata Shevon yang sejurus perlawanan. 

Soon Huat pula menyimpulkan mereka mula mendapat rentak selepas mempamerkan prestasi longlai dalam kempen ini.

"Saya gembira dengan permainan hari ini. Beberapa hari lalu aksi kami tidak begitu mantap dan amat buruk," katanya pula.
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen