Beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi -Ong Yew Sin, menghidupkan peluang mereka untuk ke separuh akhir Kejohanan Badminton Akhir Jelajah Dunia dengan menundukkan Marcus Ellis -Chris Landgridge dari England di Thailand, hari ini.

Selepas tewas dalam aksi pembukaan Kumpulan A semalam, mereka berjuang dalam masa 53 minit sebelum menoktahkan kemenangan 21-19, 21-18.

Beregu Malaysia itu sentiasa ketinggalan sehinggalah menuju ke mata-mata akhir apabila menyamakan kedudukan 19-19.

Tuah tampak memihak kepada mereka apabila meraih dua mata akhir untuk mengungguli set pertama.

Set kedua sengit dengan tidak jurang mata besar memisahkan kedua-dua beregu itu.

Namun, selepas kedudukan 10-10, Ee Yi-Yew Sin meningkatkan rentak untuk mendahului 18-13.

Mereka berdepan saat mencemaskan apabila gagal menamatkan pertarungan dalam empat kesempatan mata akhir sebelum meraih mata kemenangan dalam servis kelima.

"Kami tidak bermain baik pada awal permainan dengan memberikan mata mudah dan kesilapan tidak sepatutnya," kata Yew Sin.

Rakan sepasukannya pula berkata: "Kami menghadiahkan mata kepada lawan. Bukan mereka yang membunuh kami.

"Kami tidak beraksi baik di jaring dan banyak pukulan yang tersasar.

"Perbincangan selepas itu menyaksikan kami tidak lagi mudah melepaskan mata dan perlu berjuang sepanjang permainan.

"Mata akhir yang kami pungut itu adalah tindakan hidup atau mati. Kalau kami buat kesilapan, maka kedudukan akan terikat 19-19.

"Ia boleh menambah tekanan tetapi kami buat dengan baik untuk menamatkan permainan."

Ee Yi-Yew Sin perlu menewaskan satu lagi pasangan England, Ben Lane -Sean Vendy, untuk peluang ke pusingan empat terbaik.





Sementara itu, satu lagi beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Woi Yik, menyimpulkan kekalahan mereka bukan didorong oleh terikut-ikut dengan corak permainan lawan mereka apabila dikejutkan wakil Russia, Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov, 19-21, 16-21.

"Kami mengasak dengan mengutip mata awal. Selepas itu mereka mula bersabar sementara kami pula membuat banyak kesilapan dan gopoh hingga memberikan lawan menang.

"Keyakinan kami agak rendah dalam set kedua, lawan pula beri tekanan maka kami tidak dapat mendapat rentak (permainan)," kata Wooi Yik.

Menurut Aaron: "Kami telah mengkaji corak permainan tetapi ini pertemuan pertama kami.

"Dalam sudut strategi, kami hanya cuba mengekalkan gaya permainan kami dan bukannya terikut-ikut dengan mereka."