Beregu wanita negara, Lee Meng Yean-Chow Mei Kuan, dan Vivian Hoo-Yap Cheng Wen serta beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai, tidak berdaya untuk menyaingi lawan masing-masing apabila tewas dengan straight set dalam Kejohanan Badminton Akhir Jelajah Dunia, sebentar tadi.

Kem Malaysia terus dipalit duka selepas beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, langkah kiri pada hari kedua saingan di Impact Arena, Thailand.

Terdahulu, Meng Yean-Mei Kuan berusaha keras untuk menjelmakan tentangan sengit kepada wakil Korea Selatan, Lee So Hee-Shin Seung Chan, tetapi ia belum memadai apabila terpaksa akur dengan kehandalan lawan 15-21, 17-21.

Turut kecundang, Vivian-Cheng Wen yang berdepan tugas getir menentang pilihan utama dari Indonesia, Greysia Polii-Apriyani Rahayu, 17-21, 7-21.


RESULTS: World Tour Finals Group A #INA ?? Greysia Polii-Apriyani Rahayu (1) def. #MAS ?? Vivian Hoo-Yap Cheng Wen 21-17 21-7 #BadmintonMalaysia #BadmintonLovers

Posted by Badminton Association of Malaysia - BAM on Thursday, January 28, 2021



Sementara itu, rentak cemerlang Soon Huat-Shevon yang merakamkan kejutan ke atas gandingan Jerman, Mark Lamsfuss-Isabel Herttrich, semalam dinafikan pilihan keempat kejohanan, Thom Gicquel-Delphine Delrue.

Mereka harus menyalahkan diri sendiri apabila acap memberikan mata mudah buat lawan dari Perancis itu dan membenarkan lawan untuk memungut dua mata ketika cuba menghambat di kedudukan 15-17 sebelum tewas 17-21.

Permainan Soon Huat-Shevon semakin hilang arah apabila menghadiahkan lawan tujuh mata untuk kedudukan 6-15.

Kepuasan jelas terpancar di riak Shevon apabila dia menyumbangkan mata kelapan negara.

Tetapi dua insiden membabitkan komunikasi ketika Soon Huat cuba membalas hantaran ke penjuru kanan gelanggangnya selain terhayun raket ke badan Shevon mencerminkan sejauh mana bergelutnya mereka di atas gelanggang untuk memberikan kemenangan mudah 21-9 buat Thom Gicquel-Delphine Delrue dalam set kedua.

RESULTS: World Tour Finals Group B #FRA ?? Thom Gicquel-Delphine Delrue (4) def. #MAS ?? Goh Soon Huat-Shevon Lai 21-17 21-9 #BadmintonMalaysia #BadmintonLovers

Posted by Badminton Association of Malaysia - BAM on Thursday, January 28, 2021